ADUN Sukau Serah 89 Tan Makanan Kepada Rakyat Memerlukan

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman tampil dengan inisiatif sendiri apabila menyediakan bantuan keperluan makanan kepada masyarakat bagi mengurangkan bebanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi inisiatif itu, Saddi menyediakan 5,100 kampit beras dan 5,100 bungkus barang dapur dengan keseluruhan barangan seberat 89 tan yang diagihkan kepada rakyat yang tinggal di pesisir pantai di Sukau, serta mereka yang sudah bermastautin di bandar.

Bantuan berjumlah kira-kira RM255,000 itu mula diagihkan sejak beberapa hari lalu di Pejabat ADUN Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sukau, di Labuk Jaya, di sini untuk yang bermastautin di bandar.

Bagi kawasan pesisir pantai antaranya Mukim Litang, Kampung Dagat, Tidong dan Tundun Bohangin, bantuan diserahkan secara langsung kepada penduduk di penempatan mereka.

Saddi berkata, beliau mengambil inisiatif sendiri dengan menggunakan peruntukan sentuhan kasih yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan kawasan kepada bantuan makanan.

Jelasnya, sekurang-kurangnya 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan berkenaan dengan penerima adalah golongan yang terjejas akibat PKP.

“Mereka yang terima bantuan ini adalah penduduk memerlukan seperti nelayan, petani… saya ambil contoh di Tundun Bohangin iaitu kampung nelayan yang dikelilingi laut, tiada kedai dan untuk ke bandar pun perlu ada minyak petrol supaya bot boleh bergerak.

“Sebab itu, kita memulakan langkah untuk bantu rakyat terkesan ini kerana ramai yang terperangkap apabila PKP dilaksanakan. Apabila kita beri bantuan ‘direct’ kepada penduduk, tiada alasan lagi mereka mahu keluar,” katanya.

Saddi turut melahirkan penghargaan terhadap kesungguhan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membantu semua wakil rakyat untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk di kawasan masing-masing menerusi pembentangan pakej rangsangan ekonomi, baru-baru ini.

Pada masa sama, Saddi turut meminta kerajaan negeri mencari kaedah untuk membantu rakyat termasuk meneruskan pengagihan bantuan makanan jika tempoh PKP yang sepatutnya berakhir 14 April ini dilanjutkan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *