Rakyat Sabah Bekerja Di Semenanjung Diminta Hubungi Pejabat Perhubungan Negeri Di KL

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang tergolong dalam Kumpulan B40 dan bekerja di Semenanjung Malaysia boleh berhubung dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah bagi mendapatkan bantuan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sukar untuk mengesan keberadaan rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia kerana ada kalanya mereka berpindah tempat kerja.

“Kadang-kadang mereka ini berpindah-randah jadi mereka kena maklumkan kepada kita. Pegawai yang ditugaskan sukar untuk mengesan mereka. Jika mereka ini pelajar mudah sedikit untuk dikesan kerana ada data yang direkodkan.

“Saya faham ada yang bertanya macam mana mahu mendapatkan bantuan ini. Malah, ada yang merayu kerana ada bantuan tidak sampai.

“Jadi, kita minta mereka ini berhubung dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Ampang untuk memastikan bantuan ini dapat disalurkan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kepada Tabung Bencana Negeri Sabah.

Sehingga kini, sejumlah RM9 juta bantuan telah disampaikan kepada rakyat dan pelajar Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia.

Mohd Shafie berkata, sistem penyampaian bantuan melalui Pakej Bantuan Covid-19 Sabah ini dipantau setiap hari bagi memastikan bantuan sampai kepada semua kumpulan sasar.

Katanya, beliau telah mengarahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah supaya memastikan mana-mana rumah yang mempunyai penduduk akan menerima bantuan bekalan makanan menerusi Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM)

Menurutnya, setakat ini, bantuan bekalan makanan yang disalurkan menerusi PPM di setiap daerah telah diberikan kepada 160,000 ketua isi rumah (KIR).

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga mengambil inisiatif memberikan bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Mengenai bantuan kepada pelajar Sabah yang berada di luar negara, beliau berkata, pelajar-pelajar yang berada di Indonesia dan Mesir juga turut dibantu menerusi Kementerian Pelajaran dan Inovasi.

Kementerian Pelajaran akan menghubungi mana-mana pelajar Sabah yang berada di luar negara bagi memastikan mereka menerima bantuan dan berada dalam keadaan selamat.

Tambahnya, bantuan-bantuan yang diberikan kepada golongan sasar itu adalah bantuan peringkat pertama yang dilakukan kerajaan negeri.

Memasuki peringkat kedua nanti, kerajaan akan membantu golongan usahawan dan entiti perniagaan kerana difahami ada antara mereka berhenti beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Bantuan ini akan diumumkan kemudian apabila sudah tiba masanya. Bantuan itu nanti akan dilihat daripada sektor-sektor yang ada termasuk pelancongan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *