24 Pusat Kuarantin Beroperasi Di Seluruh Sabah

Christina Rundi

KOTA KINABALU: Sebanyak 24 pusat kuarantin sedang beroperasi dengan penambahan dua pusat iaitu Pusat Kuarantin Kompleks Sukan Putatan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, Kota Marudu bagi menampung pesakit Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Christina Rundi berkata, Sabah mencatatkan kes Covid-19 ke 241 apabila hanya satu kes positif dikesan di Putatan  semalam.

Beliau berkata, setakat semalam, jumlah keseluruhan sampel yang telah diambil adalah sebanyak 12,413 daripada 195,350 orang yang dibuat saringan pemeriksaan.

Katanya, pada Isnin lalu, seramai 177 pesakit Covid-19, 85 pesakit dalam siasatan (PUI) dan 43 pesakit dengan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar di seluruh Sabah termasuklah 61 pesakit yang telah sembuh.

“Bilangan kumulatif mereka yang dalam pemantauan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 sehingga 5 April 2020 adalah 10,624 orang.

“Bilangan kontak rapat yang masih dalam perintah pengawasan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah seramai 6,241 dan bilangan kontak yang telah tamat tempoh kuarantin rumah selama 14 hari adalah seramai 4,383 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai pemeriksaan premis melalui Operasi Bersepadu PKP yang dijalankan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan JKNS bersama Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah memeriksa 485 premis perniagaan.

Daripada jumlah premis yang diperiksa, tiga premis perniagaan di Sandakan telah diarah tutup di bawah Seksyen 18(1)(f) APPPB 1988 termasuklah satu kedai minum, kedai pinjaman wang berlesen dan kedai telekomunikasi.

Di samping itu, beliau berkata, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) turut giat dijalankan di negeri ini.

Katanya, pasukan MHPSS telah memberikan intervensi kepada 4,104 orang awam dan kakitangan dan sebanyak 2,628 panggilan telefon, 1,048 psikoedukasi, 3,220 maklumat infografik melalui aplikasi WhatsApp telah dilakukan termasuk panggilan video dan kaunseling.

“Orang awan boleh menghubungi talian awam MHPSS di bilik gerakan MHPSS JKNS di talian 088-230987 setiap hari pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang,” katanya.

Selain itu, pihak JKNS juga ingin mengingatkan rakyat Sabah untuk terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan serta mematuhi arahan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masih terdapat sampel yang akan diproses. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *