Telefon Pintar Percuma Untuk Pelajar Sekolah B40

Permohonan ibu tunggal di sebuah perkampungan nelayan di Labuan, Sabah disertai dengan gambar tiga anak memegang sijil kematian bapa mereka. Gambar ihsan YTL

KUALA LUMPUR: YAYASAN YTL dengan kerjasama YTL Communications menawarkan telefon pintar percuma kepada pelajar sekolah kerajaan dari keluarga B40 yang tidak memiliki telefon pintar atau peranti mudah alih bagi sesi pembelajaran di rumah.

Inisiatif belajar dari rumah itu sebagai tambahan kepada kad SIM YES 4G dilengkapi dengan data 40 GB selain sumber pembelajaran yang turut diberikan kepada pelajar sekolah terbabit.

Setiap telefon pintar terbabit akan dilengkapi dengan kad SIM prabayar YES 4G dan pelan data sebanyak 120 GB bagi tempoh setahun.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Yayasan YTL memohon kerjasama guru sekolah terbabit tampil membantu memberikan nama pelajar yang layak bagi memastikan telefon pintar itu dapat diserahkan kepada keluarga memerlukan.

“Guru adalah barisan terbaik bagi mengenal pasti keluarga ini.

“Guru memainkan peranan penting dalam usaha membantu pelajar dalam kelas selain kerap meluangkan masa, tenaga dan ilmu bagi membantu pelajar mereka.

“Selain itu, guru dan ibu bapa juga harus bekerjasama rapat bagi membolehkan pelajar dapat meneruskan sesi pembelajaran dari rumah dengan baik tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Menurutnya, sejak dilancarkan dua minggu lalu, pekerja YTL Communications bekerja sepanjang masa bagi menguruskan permohonan mendapatkan kad SIM YES 4G percuma itu.

“Yayasan YTL amat memahami kesukaran dilalui kebanyakan keluarga di Malaysia terutama mereka dari golongan B40 ketika dunia dan negara kita sedang menghadapi ujian berat berikutan penularan wabak Covid-19.

“Ada yang terpaksa bertungkus-lumus demi mencari sesuap nasi, namun dalam apa jua cabaran yang dihadapi, YTL Foundation tetap nekad membantu pendidikan generasi muda terutama kepada mereka yang memerlukan.

“Ketika memproses permohonan berkenaan, YTL Communications tertarik dengan satu permohonan seorang ibu tunggal di sebuah perkampungan nelayan di Labuan, Sabah yang disertai dengan sekeping gambar tiga anak kecil sedang memegang sijil kematian ayah mereka.

“Gambar itu disertakan dalam borang permohonan ibu tunggal ini kerana dia tidak pasti jika anak-anaknya layak menerima kad SIM yang ditawarkan kerana suaminya meninggal dunia.

“Apa yang menyayat hati, dia kehilangan kerja baru-baru ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas dasar prihatin dan tanggungjawab sosial korporat, Yayasan YTL memberikan sebuah telefon pintar dengan kad SIM percuma seperti yang dipohon,” katanya.

Bekas guru dan isteri kepada Pemegang Amanah Yayasan YTL Tan Sri Aris Othman, Puan Sri Sherina Aris berkata, guru adalah yang terbaik untuk menilai keperluan pelajar di dalam kelas mereka.

“Saya membesar dalam keluarga yang sangat miskin dan guru sayalah yang membantu saya menamatkan pengajian.

“Saya mengalami anemia akibat kekurangan nutrisi dan guru sayalah yang menyedari perkara ini dan menghantar saya berjumpa doktor serta mencari penaja yuran persekolahan saya.

“Guru lain turut sama menyumbang bagi memastikan saya mendapat nutrisi harian yang mencukupi.

“Sebagai bekas guru dan seorang yang pernah mengalami sendiri kebaikan yang dicurahkan guru, saya yakin anda boleh percaya bahawa guru sentiasa mengutamakan kesejahteraan pelajar mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan YTL Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping berkata, ibunya juga adalah seorang guru.

“Kami membesar dengan melihat betapa dedikasinya ibu saya terhadap pelajarnya.

“Ibu akan mengadakan kelas tambahan untuk pelajar lemah mata pelajaran setiap hari selepas waktu persekolahan, namun kelas tambahan tidak akan bermula selagi pelajar tidak diberikan makanan terlebih dulu kerana dia tahu ramai antara mereka tidak mampu untuk mendapatkan bekalan makan tengah hari yang baik.

“Kami menghormati semua guru dan kami percaya mereka dapat membantu kami bagi mengenal pasti pelajar yang paling memerlukan untuk menerima tawaran percuma ini,” katanya.

Guru boleh mencalonkan nama pelajar yang layak menerima telefon pintar di www.ytlfoundation.org/learn manakala pelajar yang berjaya akan dimaklumkan dan perlu mengemukakan pendaftaran mereka bagi membolehkan menerima telefon pintar dilengkapi pelan data 12 bulan YES 4G percuma.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *