Sabah Laksana Cukai Jualan 5% Terhadap Produk Petroleum

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah melaksanakan cukai jualan sebanyak lima peratus terhadap semua produk petroleum di negeri ini bermula bulan lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelaksanaan cukai berkenaan telah dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.

“Kami telah kenakan sejak bulan lalu lagi. Semasa saya berbincang dengan Dr. Mahathir lagi, beliau ada bertanya tentang perkara ini, selain membincangkan 20 peratus saya beritahu dia kami juga tuntut hak Sabah terhadap hasil bumi sendiri dan beliau meminta tunggu sekejap.

“Sudah tentu ketika ini dengan Covid-19 yang dihadapi kami memerlukan lebih banyak dana, sudah tentu Petronas juga terkesan tetapi pada masa sama kena ingat bila saya bercakap dengan syarikat-syarikat lama mereka menerimanya asalkan diberitahu awal, ini bukan benda yang kita mahu laksanakan kemudian ditarik balik tetapi perlukan perancangan teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita semasa melakukan tinjauan di lokasi sekatan jalan raya bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Kepayan di sini petang ini.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuching membuat keputusan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum.

Mahkamah ketika itu menolak pemohonan Petronas untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan cukai jualan Sarawak tidak sah dan terbatal.

Sementara itu, mengulas tentang rayuan pengusaha sektor perladangan di pantai timur yang meminta supaya mereka dibenarkan beroperasi, Ketua Menteri berkata, perkara itu akan diperincikan terlebih dahulu.

Katanya, beliau sedar tentang aduan yang diterima, namun keselamatan kesihatan rakyat adalah lebih penting.

“Kita kena perincikan secara mikro, tetapi bagi yang ada kes kita tidak boleh benarkan sebab saya tidak mahu membahayakan orang, saya tahu orang ramai membuat aduan tentang buat duit, saya juga ahli ekonomi saya faham, saya tahu keadaan ekonomi, semua masyarakat pekerja dan tauke yang memberi pekerjaan pun berdepan kesusahan.

“Tetapi masalah ini yang sekarang kita hadapi Covid-19 yang perlu kita tangani, tetapi mana ada kilang-kilang saya kena perhalusi, esok ada mesyuarat Kabinet saya akan tengok saya tidak mahu cakap sekarang,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *