MENUMBOK: Penjual ketam bakau hidup di Kampung Sarap di sini, mula resah selepas pendapatan mereka mula terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
Salah seorang daripada mereka adalah Sunia Umbin, 42, yang berkata, upahnya kini tidak seberapa berikutan tidak ramai pembeli.
“Kebiasaannya saya mendapat upah RM 1.50 untuk sekilo ketam bakau yang dijual. Sebelum PKP diumumkan, saya boleh menjual 10 kilogram ketam sehari tetapi sekarang saya hanya mampu menjual kurang empat kilogram sehari.
“Selain penduduk kampung, kebiasaan orang dari Labuan dan Beaufort yang melalui jalan ini untuk ke Terminal Feri Menumbok singgah untuk membeli ketam,” katanya.
Katanya, dia lega penjual ketam diberikan kelonggaran oleh polis untuk berjual dengan syarat gerai harus dijarakkan.
“Ini sahaja mata pencarian saya memandangkan suami hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan gaji RM800 sebulan bagi menyara keluarga,” katanya.
Seorang lagi penjual ketam, John Umbin, 35, berkata sebelum ini dia mampu menjual 10 hingga 15 kilogram ketam sehari sekali gus mendapat upah RM30 hingga RM40 sehari.
“Namun kini saya hanya dapat jual sekilogram sahaja dan kadang-kadang langsung tidak laku.
“Jika ketam bakau hidup yang tidak terjual mati atau hampir mati, saya akan sedekahkan kepada orang kampung.
“Pemborong ketam bakau hidup yang biasa masuk ke sini juga tidak datang kerana tempoh PKP ini,” katanya. – Harian Metro