COVID-19: Perkembangan Terkini Seluruh Dunia

Doktor  merawat pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Turin. – Foto AFP

PARIS: Sepanyol menyaksikan angka kematian harian akibat COVID-19 meningkat kepada 743 orang, selepas menurun untuk tempoh empat hari berturut-turut

China pula tidak melaporkan sebarang kematian akibat jangkitan coronavirus baru ini untuk kali pertama sejak wabak merebak Januari lalu.

Pada Rabu, kerajaannya akan membatalkan larangan perjalanan masuk ke Wuhan, sebuah bandar raya dengan kepadatan 11 juta orang yang diletakkan di bawah kuarantin ketat pada 23 Januari lalu.

Jepun pula mengisytiharkan darurat kesihatan selama sebulan tetapi tidak mengadakan sekatan pergerakan.

Langkah ini membolehkan gabenor di tujuh kawasan terjejas termasuk Tokyo menggesa orang ramai untuk tinggal di rumah dan meminta perniagaan ditutup, namun tiada mekanisme penguatkuasaan atau denda bagi mereka yang ingkar.

Sekurang-kurangnya 75,542 kematian direkod di seluruh dunia, hampir tiga perempat daripadanya di Eropah, sejak virus itu muncul di China pada Disember.

Wabak itu membunuh lebih 53,928 orang di Eropah, termasuk 16,523 di Itali, 13,798 di Sepanyol, 8,911 di Perancis dan 5,373 di Britain.

Kematian di Amerika Syarikat menyaksikan angkat tertinggi, iaitu 10,993 dengan sekurang-kurangnya 368,449 jangkitan baru.

Lebih daripada 1.35 juta kes direkod secara rasmi di seluruh dunia, jumlah yang mewakili sebahagian kecil daripada bilangan jangkitan sebenar.

Kerajaan Perancis memberi amaran perintah berkurung yang berkuat kuasa pada 17 Mac akan tetap berjalan selagi negara itu belum mencapai puncak wabak berkenaan.

Ia melaporkan 833 kematian dalam tempoh 24 jam, jumlah kematian harian tertinggi setakat ini.

Sejak Rabu, Paris melarang sebarang kegiatan riadah di luar bermula jam 10 pagi hingga 7 petang. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *