182,300 Sudah Jalani Saringan Covid-19 Di Sabah

KOTA KINABALU: 182,300 individu sudah menjalani saringan pemeriksaan Covid-19 di Sabah sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, sebanyak 10,054 sampel sudah diambil daripada jumlah keseluruhan yang sudah melalui saringan kesihatan.

“Daripada 838 ujian dijalankan, 18 positif adalah termasuk 16 sampel ulangan.

“Selain itu, seramai 184 pesakit Covid-19, 82 pesakit dalam siasatan (PUI) dan 37 pesakit dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) masih dirawat di enam hospital seluruh negeri.

“Sementara, 52 lagi disahkan sembuh setakat ini,” katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Dr Christina berkata, seramai 10,343 masih berada di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian.

Menurutnya, 6,286 kontak rapat kini berada dalam pengawasan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), manakala 4,057 lagi sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 2,468 panggilan diterima bilik gerakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di Sabah bagi mendapatkan khidmat kaunseling atau intervensi berkaitan Covid-19.

Katanya, pihaknya turut melaksanakan 1,045 psikoedukasi dan 2,869 maklumat infografik menerusi aplikasi WhatsApp termasuk panggilan video.

“Orang awam boleh menghubungi bilik gerakan MHPSS di talian 088-230987 sekiranya ingin mendapatkan nasihat atau kaunseling daripada ahli MHPSS bertugas.

“Ahli MHPSS adalah golongan terlatih seperti pakar psikiatri, pegawai perubatan, pegawai psikologi kaunseling dan pegawai kaunseling klinikal di semua daerah.

“Talian ini dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Selain itu, Dr Christina berkata, seramai 3,761 individu terdiri kakitangan perubatan

serta orang awam di Sabah sudah diberikan intervensi.

Mengenai kes positif Covid-19 membabitkan kakitangan Hospital Keningau seperti yang tular di media sosial, beliau berkata, punca sebenar jangkitan kes ini masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati jangkitan mungkin daripada kakitangan lain yang dijangkiti semasa menghadiri mesyuarat di luar daerah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Oleh itu, kita meminta orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan diskriminasi ke atas pesakit dan keluarga selain mampu mewujudkan suasana panik dalam kalangan masyarakat di daerah terbabit,” katanya.

SumbeR: Harian Metro

923