KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan berita tular berkaitan berlaku kematian disebabkan penyakit Covid-19 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata mesej berkenaan tular menerusi aplikasi sosial Whatsapp.
“Berita ini adalah tidak benar dan kita tiada menerima sebarang laporan mengenai perkara terbabit.
“Selain itu, kita juga meminta pihak tertentu tidak mempolitikkan isu kesihatan terutamanya membabitkan wabak COVID-19.
“Orang awam, sebaliknya harus memberikan sokongan yang padu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam usaha menangani wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu, semalam.
Mengulas perkembangan COVID-19 di Sabah, Dr Christina berkata, 13 kes baharu dilaporkan semalam, masing-masing 5 kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan (3 kes); Penampang (2 kes) dan 1 kes masing-masing di Tuaran, Beaufort dan Kunak.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 238 kes setakat semalam,” katanya.
Menurutnya, seorang pesakit COVID-19 di Sabah telah sembuh, menjadikan kumulatif pesakit sembuh di negeri ini adalah seramai 34 orang setakat 4 April.
Sementara itu, sebanyak 15,879 ujian COVID-19 sudah dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu setakat kelmarin.
“Walaupun terdapat banyak halangan dan limitasi, makmal ini tetap dapat beroperasi manakala perkhidmatan makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) sudah mula beroperasi sejak 30 Mac lalu untuk ujian COVID-19. Ia dijangka mampu menampung bilangan ujian yang semakin meningkat,” katanya. – Berita Harian