COVID-19: Sabah Catat Dua Kes Positif, 18 Pesakit Sembuh Hari Ini

KOTA KINABALU: Seramai 18 orang yang dijangkiti Covid-19 di Sabah dilaporkan telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih kini seramai 52 orang.

Perkembangan terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Phoon dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Sabah juga mencatat dua lagi kes baharu, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini, setakat ini, sebanyak 240 kes.

Dua kes terbabit masing-masing berlaku di Papar serta Keningau.

Salah satu kes positif berkenaan juga menjadi yang pertama di Keningau selepas sebelum ini satu kes yang sebelum ini dilaporkan berlaku di daerah berkenaan, dipindahkan ke daerah Tambunan.

Sehingga kini, Tawau kekal daerah tertinggi mencatatkan kes Covid-19 dengan jumlah 67 kes disusuli Lahad Datu yang telah mencatat jumlah kes sebanyak 38 manakala Kota Kinabalu daerah ketiga tertinggi dengan 34 kes.

Sandakan pula daerah keempat tertinggi merekodkan Covid-19 dengan jumlah sebanyak 19 kes manakala Tuaran dan Kinabatangan masing-masing kekal dengan 17 kes.

Lain-lain daerah yang mempunyai rekod Covid-19 setakat ini ialah Beaufort dengan jumlah sembilan kes, Kunak (8), Putatan (7), Penampang (6), Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (3), Ranau (2), Semporna (2), Tambunan (1), Keningau (1).

Kes kematian di Sabah juga kekal dengan dua kes iaitu berlaku di Tawau serta Tambunan.

Sementara itu, Sabah kekal negeri kelima tertinggi mencatat kes Covid-19 selepas Selangor yang kini merekodkan 970 kes, Kuala Lumpur (640) dan Johor (468) dan Sarawak (273).

2721