PKP: Dua Lelaki Ditahan Langgar Sekatan Jalan Raya Di Sandakan

Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin

SANDAKAN: Dua lelaki ditahan pihak polis kerana melanggar sekatan jalan raya COVID-19 di Batu 16, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata kedua suspek berumur 20 tahun dan 25 tahun ditahan sejurus berpatah balik selepas 20 minit kejadian.

“Lebih kurang 2.15 petang, pihaknya yang sedang menjalankan tugas memeriksa kenderaan yang melintas di sekatan jalan raya tersebut telah menahan sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki untuk pemeriksaan.

“Semasa anggota yang bertugas bertanyakan dengan kedua-dua lelaki tersebut, mereka dari mana dan hendak pergi ke mana dan pemandu kereta tersebut telah menunjukkan sekeping kad seperti kad pengenalan tentera,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata belum sempat memberi jawapan di mana pemandu kereta telah bertindak memecut kenderaan tersebut dengan laju melarikan diri dengan menghala ke arah Kampung Gum-Gum, Batu 16, Sandakan sehingga membahayakan keselamatan anggota yang bertugas.

“Lebih kurang 20 minit selepas itu, pihaknya telah menahan kenderaan bersama dua lelaki di sekatan jalan raya Batu 16 jalan menghala ke arah bandar Sandakan,” katanya.

Mohd Azhar berkata pihaknya telah membuat tangkapan terhadap kedua-dua lelaki tersebut serta merampas kenderaan yang dinaiki oleh mereka bersama sekeping kad pengenalan anggota Sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 26 (2) Akta Polis dan  Peraturan 11(1) Peraturan- Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

SumbeR: Utusan Borneo