RELA Kawal Penduduk Luar Bandar Di Sabah

Anggota RELA membantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan sekatan jalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KOTA KINABALU: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah akan memastikan penduduk luar bandar tidak terlepas mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Pengarah RELA Sabah Mohd Pauzi Jhumat berkata, pihaknya akan terus berganding bahu sebagai ‘barisan hadapan’ bersama agensi lain dalam menangani penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Menurutnya, segelintir penduduk luar bandar yang berkumpul atau keluar sesuka hati menggunakan jalan pintas masih berlaku di kawasan kampung bagi mengelak sekatan jalan PKP.

“Difahamkan, kebanyakan kampung sudah memasang sepanduk dan papan tanda larangan orang awam melalui jalan masuk ke kampung mereka tanpa tujuan penting.

“Namun, masih ada segelintir orang luar yang berani keluar sesuka hati menggunakan laluan kampung untuk mengelak sekatan selain daripada berkumpul,” katanya.

Menurutnya, anggota RELA yang disertai dari hampir keseluruhan kawasan kampung di negeri itu juga berperanan mengawal kegiatan orang awam dalam membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“RELA di setiap kampung berhak menegur mana-mana individu yang ingkar arahan kerajaan dan memaklumkan kepada pihak polis untuk susulan tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Pauzi berkata, seramai 1,250 anggota RELA daripada bahagian Pengurusan Bencana RELA bertugas setiap hari dalam membantu pihak PDRM dan ATM mengadakan pelbagai tugasan seperti sekatan jalan raya, kawalan pusat kuarantin, penguatkuasaan dan pemantauan pematuhan PKP.

Menurutnya, RELA turut terlibat menjalankan rondaan, kawalan termasuk kawasan sempadan serta aktiviti kebajikan sepanjang tempoh PKP.

Difahamkan, jumlah penyertaan anggota RELA berdaftar juga semakin bertambah apabila merekodkan seramai 302,887 anggota terdiri daripada 177,826 lelaki dan 125,061 wanita berbanding pada 2018 iaitu 258,066 anggota.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *