COVID-19: GiatMARA & 20 Banduan Penjara Tawau Bantu Hasil PPE Untuk “Frontliner”

Foto Ihsan GiatMARA Tawau

TAWAU, 3 April: GiatMARA dan Penjara Tawau mengambil inisiatif menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan di daerah ini dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Pengarah GiatMARA Sabah, Saflee Ag Damit berkata pihaknya menggunakan kemahiran enam tenaga pengajarnya menghasilkan PPE, dan usaha itu merupakan satu tanggungjawab khidmat sosial bagi mengurangkan beban kerja ditanggung pihak hospital dalam menangani wabak tersebut.

“Projek menjahit PPE itu dimulakan sejak 30 Mac hingga 10 April ini dan dijalankan di GiatMARA Tawau melibatkan empat tenaga pengajar di Tawau serta dua dari Semporna, dan kesemua mereka berasal dari Tawau,”  katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Setakat ini, beliau berkata 50 pasang PPE sudah siap dijahit sendiri oleh tenaga pengajarnya, dan material kain itu dibekalkan oleh Klinik Kesihatan Kabota.

Beliau berkata kesemua enam tenaga pengajar itu memulakan kerja pada 9 pagi sehingga 2 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.

Dalam pada itu, seorang tenaga pengajarnya Jara Chun Bung, 47, yang mempunyai pengalaman mengajar di GiatMARA selama 19 tahun, berkata satu pasang PPE boleh disiapkan dalam tempoh 20 minit.

Sementara itu, Pengarah Penjara Tawau, Penolong Kanan Komisioner Faisal Mohamed Noor berkata pihaknya turut membantu pihak kesihatan untuk menjahit 500 pasang PPE bagi mengatasi kekurangan peralatan perlindungan itu.

“Bengkel jahit Penjara Tawau menerima tempahan bermula hari ini dan seramai 20 tukang jahit terdiri daripada penghuni penjara (banduan) terlibat dalam menghasilkan PPE itu,” katanya.

Beliau berkata pada 20 Mac, pihaknya menerima tempahan untuk menyediakan 50 pasang pakaian khas yang dibersihkan atau ‘scrubs’ untuk staf barisan hadapan Klinik Kesihatan Kabota.

“Tempahan itu sudah disiapkan pada 26 Mac dan diserahkan kepada Klinik Kesihatan Kabota,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *