COVID-19: 5 Kes Baharu, 10 Sembuh Di Sabah, Dibenarkan Pulang Hari Ini

KOTA KINABALU: Seramai 10 pesakit jangkitan Covid-19 di Sabah telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang telah sembuh di negeri ini ialah seramai 23 orang, setakat ini.

Kes-kes pesakit Covid-19 yang sembuh di Sabah, hari ini, ialah di Beaufort dan Sipitang masing-masing seramai tiga orang serta Tawau, Tuaran, Kota Belud, dan Papar masing-masing seorang.

Statistik terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Sementara itu, lima lagi kes baharu direkodkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 215 kes.

Sandakan dan Penampang masing-masing meningkat sebanyak dua kes manakala satu lagi kes baru berlaku di Lahad Datu.

Sehingga kini juga, Tawau masih kekal sebagai kawasan paling banyak merekodkan kes Covid-19 dengan jumlah sebanyak 63 kes.

Lahad Datu pula kekal daerah kedua tertinggi dengan jumlah 36 kes disusuli Kota Kinabalu yang mencatat jumlah 29 kes.

Dua daerah berjiranan, Sandakan dan Kinabatangan masing-masing menjadi daerah keempat dan kelima tertinggi mempunyai kes Covid-19 apabila masing-masing merekodkan 19 dan 14 kes.

Satu lagi daerah mencatatkan lebih daripada 10 kes ialah Tuaran yang kini merekodkan jumlah 12 kes Covid-19.

Jumlah keseluruhan lain-lain daerah setakat ini ialah Beaufort sebanyak lapan kes, Kunak dan Putatan masing-masing tujuh kes, Kota Belud (5), Sipitang (4), Penampang (4), Papar (2), dan Ranau (2), Semporna (2) dan Tambunan (1).

Kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini juga kekal satu kes iaitu di Tawau.

Sementara itu, Sabah kekal negeri kelima tertinggi mencatat kes Covid-19 selepas Selangor yang kini merekodkan 863 kes, Kuala Lumpur (543) dan Johor (416) dan Sarawak (239). – Berita Sabah

3926