Christina Puji Usaha Pasukan Polis Mengawal Keadaan Sepanjang Tempoh PKP

Christina (dua kiri) bersama Habibi (dua kanan) merakamkan gambar kenangan selepas penyerahan bantuan berkenaan.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew memuji usaha pasukan polis dalam usaha melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dipanjangkan sehingga 14 April dengan berkesan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, Polis Daerah Kota Kinabalu contoh memainkan peranan penting sebagai petugas barisan hadapan seperti pegawai-pegawai perubatan, serta pekerja perlu dalam sektor penting.

“Kerajaan sangat menghargai peranan yang dimainkan pasukan polis sepanjang PKP ini. Berdasarkan pandangan saya, pasukan polis daerah Kota Kinabalu melakukan kerja mereka dengan baik bagi memastikan orang awam mematuhi arahan.

“Situasi di sini berada dalam keadaan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan selepas menyerahkan bantuan unit peralatan kesihatan dan makanan kepada balai polis daerah Kota Kinabalu, kelmarin.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, kerajaan Sabah akan memastikan tidak wujud sebarang kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas dalam negeri ini.

“Pasar, pasar raya, restoran dibenarkan beroperasi pada waktu ditetapkan, oleh itu rakyat tidak perlu panik. Ikuti arahan yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang PKP dilaksanakan.

“Kita perlu memberikan tumpuan memerangi pandemik COVID-19. Duduk di rumah bersama ahli keluarga dan menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, seseorang itu masih boleh bekerja dan bersenam dari rumah. Keluar rumah hanya ketika mempunyai keperluan dan amalkan penjarakan sosial.

Katanya, jangan sesekali mengingkari arahan PKP dan memberikan kerjasama baik agar mampu bersama-sama mengatasi pandemik berkenaan.

“Selepas terkawalnya COVID-19 ini nanti, kerajaan akan terus memberikan fokus utama dalam meningkatkan pembangunan ekonomi.

“Adalah penting kerajaan dan sektor swasta bersama-sama memacu atau memangkin perkembangan ekonomi untuk Sabah,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji.

Dalam pada itu, Habibi menjelaskan bahawa sejumlah 800 anggota polis terlibat dalam PKP ditempatkan pelbagai lokasi di sini dalam usaha mengawal keadaan. – Utusan Borneo

566