138 Anggota Kesihatan KKM Dikesan Positif, Tapi Bukan Berpunca Dari Wad Covid-19

Terdapat seramai 138 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dikesan dijangkiti Covid-19 setakat Khamis (2 April 2020), jam 12 tengahari.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu Sidang Media Perkembangan COVID-19 Di Malaysia yang berlangsung sebentar tadi.

Menurut Dr Noor Hisham, berdasarkan siasatan tiada kes yang berpunca daripada pengendalian dan rawatan kes yang telah disahkan positif daripada wad Covid-19 ataupun Unit Rawatan Rapi di fasiliti KKM.

Daripada jumlah tersebut, kata Dr Noor Hisham, kementerian telah mengenalpasti terdapat beberapa punca jangkitan Covid-19 ke atas kesemua warga KKM tersebut.

Sebanyak 58 kes (42%) berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh individu yang  juga menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

Sebanyak 14 kes (10.1%) berkaitan dengan pesakit Severe Scute Respiratory Infection (SARI) dan kes bergejala ringan di mana, mereka tidak tahu atau tidak memaklumkan status mereka. Dua kes daripada kumpulan ini tidak memaklumkan yang mereka telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

Sebanyak 9 kes (6.5%) dari kontak dengan ahli keluarga yang positif Covid-19.

Sebanyak 6 kes (4.3%) dengan sejarah melawat ke luar negara dan 4 kes (2.9%) daripada rakan yang positf Covid-19.

Sebanyak 3 kes (2.2%) dari pendedahan semasa aktiviti saringan di lapangan dan 2 kes (1.4%) telah hadir perhimpunan di Seri Petaling.

Manakala, baki 42 kes (30.4%) masih dalam sisatan punca jangkitan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan semua pengamal perubatan di seluruh negara untuk sentiasa mengambil langkah pencegahan Covid-19 agar dapat mengelakkan mereka daripada dijangkiti.

”Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan termasuk pengamal perubatan swasta dan NGO yang merawat pesakit perlu menggunakan penutup hidung dan mulut.

”Anggota kesihatan juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan penjarakan sosial dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan terutamanya ketika melaksanakan prosedur klinikal,” kata beliau.

Beliau juga turut menyeru orang ramai yang datang mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital agar memberikan maklumat secara jujur dan tepat mengenai sejarah kontak rapat kes postif Covid-19 atau kehadiran ke mana-mana perhimpunan dan sejarah perjalanan ke luar negara.

Sumber: Sidang Media KKM, KKM Putrajaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *