Jalan Kaki 5 Kilometer Hantar Barang Bantuan Kepada Rakyat

PENAMPANG: Tunggu di rumah, bantuan akan sampai.

Ya, memang bantuan akan sampai tetapi tidak semua tahu kesengsaraan yang terpaksa ditempuh oleh jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) yang telah dilantik bagi memastikan bantuan disediakan sampai di pintu rumah setiap golongan sasar.

Berjalan kaki sejauh lima kilometer melalui denai yang becak, mendaki bukit serta menuruni gaung sambil memikul barangan adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapi setiap ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk sampai ke beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog.

Bagaimanapun, demi memastikan penduduk di situ mendapat bantuan yang disediakan, amanah yang diberikan parti dipikul dengan penuh tanggungjawab, malah tiada keluhan sebaliknya hanya kepuasan yang terpancar di wajah masing-masing apabila sampai ke destinasi.

Pengerusi MPKK Moyog, Eddie Sone Joikol yang mengetuai rombongan agihan bantuan tersebut hari ini berkata, proses penghantaran mengambil masa hampir tiga jam kerana bentuk muka bumi yang berbukit-bukau serta jarak rumah penduduk kampung yang berjauhan antara satu sama lain.

“Dalam pengagihan bantuan ini kami mengambil masa tiga jam untuk mengagihkan bantuan kerana jarak rumah di kawasan ini berjauhan. Lepas itu keadaan muka bumi di sini juga berbukit bukau termasuklah perlu merentasi sungai untuk memasuki perkampungan di sini,”katanya.

RICHIE POILIS

Lapan buah kampung yang dapat dicapai hanya dengan berjalan kaki adalah Kampung Moyog, Kampung Mongkusilad, Kampung Koliasan, Kampung Malapi, Kampung Mompoit, Kampung Kipandi, Kampung Lombiding dan Kampung Tadong-adong.

Setiausaha MPKK Moyog, Richie Poilis berkata, jalan ke Kampung Melami, Moyog merupakan antara laluan yang mencabar kerana tidak dapat dilalui kenderaan dan hanya bergantung kepada keupayaan tenaga diri sendiri untuk mendaki sehingga ke puncak bukit perkampungan tersebut.

“Kenderaan empat pacuan pun tidak boleh masuk ke kampung ini kerana kawasan ini memang jauh dan perlu berjalan kaki untuk mendaki ke rumah penduduk.

FRANCIS CLEMENT

“Kepenatan mendaki itu boleh tahan tetapi kami bersyukur kerana agihan bantuan hari ini sudah selesai,” katanya.

Tambahnya, keadaan wabak pandemik Covid-19 yang membimbangkan juga menyebabkan mereka terpaksa berkorban untuk  menghantar bantuan tersebut dari rumah ke rumah bagi mengelak perhimpunan membabitkan orang ramai.

Sementara itu, seorang lagi petugas jentera Warisan, Francis Clement berkata, perjalanan untuk menghantar bantuan ke rumah penerima itu sangat mencabar kerana  hari sebelumnya hujan sehingga membuatkan laluan jalan becak dan licin.

Namun, beliau berkata, perjalanan itu berbaloi apabila teringat reaksi penerima yang gembira ketika melihat mereka berpenat lelah membawa bantuan tersebut.

Bantuan yang berupa makanan seperti beras, minyak masak, gula, garam dan tepung gandum itu merupakan sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Jenifer Lasimbang.

Seorang penerima bantuan, Jatin duit, 42, menzahirkan perasaan syukur apabila mendapat  bantuan tersebut.

“Kami memang susah, pergi kedai pun susah sekarang ini. Terima kasih atas bantuan ini,” katanya.

Manakala, seorang lagi penerima, Edith Robert turut menzahirkan perasaan syukur kepada rombongan yang menghantar bantuan tersebut kerana penduduk kampung di situ kebanyakkannya hanya bekerja sebagai petani.

“Kami di kampung ini cuma pekerja petani sahaja kalau kami pergi menjual tidak dapat sudah. Terima kasih kepada kamu (rombongan bantuan) semua,” katanya.

Sumber: BorneoToday

1595