JKM Selaras Sumbangan NGO Di Sabah

Mohd Shafie (kanan) menyampaikan sumbangan dana bagi keperluan makanan kepada salah satu agensi barisan hadapan sepanjang pelaksanaan PKP di Kota Kinabalu. FOTO Yun Mikail

KOTA KINABALU: Semua sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri akan diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha mengurangkan pergerakan dalam kalangan orang awam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan NGO memberikan sumbangan kepada masyarakat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun ia harus tidak melanggar peraturan.

“NGO bebas hendak meletakkan gambar atau logo mereka pada sumbangan itu tetapi semuanya harus melalui JKM dan dibantu oleh pejabat daerah masing-masing.

“Semua sumbangan akan disampaikan oleh anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) di kawasan atau lokasi yang diinginkan NGO terbabit.

“Kita tidak menghalang usaha ini malahan menggalakkannya kerana ia suatu niat murni dan usaha mereka membantu masyarakat ketika menghadapi penular Covid-19 dan PKP.

“Bagaimanapun, kerajaan mahu mengelakkan semua NGO bergerak ke seluruh daerah di negeri ini demi memastikan diri mereka turut dilindungi dari wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKKN) Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Mohd Shafie berkata beliau meminta semua NGO di Sabah terus membantu kerajaan menyalurkan sebarang bantuan yang ada namun menerusi struktur sudah ditetapkan seperti JKM negeri serta daerah dan pejabat daerah.

SumbeR: Harian Metro