COVID-19: 65.6% Penduduk Pulau Gaya Diperiksa

Sekumpulan penduduk Pulau Gaya terpaksa berpatah balik kerana larangan ke tanah besar berikutan PKP baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah memeriksa kira-kira 65.6 peratus penduduk di Pulau Gaya, dekat sini dan mengambil 1,600 sampel dalam aktiviti kawalan serta pencegahan COVID-19 selama tiga hari, berakhir semalam, kata Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi.

“Aktiviti itu dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan RELA,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, kerajaan Sabah menerusi Sabah COVID-19 Command Centre menghentikan serta-merta pergerakan penduduk dari Pulau Gaya ke tanah besar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha membendung penularan jangkitan wabak itu di negeri ini.

Dr Christina berkata, JKNS terus berusaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang COVID-19 menerusi 13 Unit Bergerak Promosi Kesihatan yang akan melakukan hebahan awam setiap hari di seluruh negeri.

“Selain itu, orang awam turut dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih berkaitan COVID-19 menerusi laman Facebook Unit Promosi Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Telegram CPRC KKM,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 809 orang telah ditempatkan di pusat kuarantin seluruh Sabah, dengan lapan daripadanya telah dibenarkan pulang semalam.

Dr Christina berkata setakat ini, 6,538 orang diletakkan di bawah kuarantin di rumah dan daripada jumlah itu, sebanyak 5,567 masih dalam pengawasan dan pemerhatian JKNS, manakala selebihnya atau 971 orang telah tamat tempoh kuarantin selama 14 hari. – BERNAMA