COVID-19: PKP Fasa Ke-2 Lebih Ketat

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula esok hingga 14 April ini akan dilaksanakan lebih ketat dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memainkan peranan dan bertindak lebih tegas supaya pematuhan kepada PKP fasa kedua dipatuhi seluruh rakyat.

“Semalam (kelmarin), seramai 742 individu ditahan dalam sekatan jalan raya dan rondaan oleh polis dan tentera kerana melanggar PKP, bagaimanapun kita melihat angka ini sedikit menurun berbanding kelmarin (Ahad lalu) 828 tangkapan.

“PDRM bersama ATM mengadakan 1,547 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksaan ke atas 383,488 kenderaan manakala sebanyak 22,586 pemeriksaan mengejut.

“Sebanyak 165 individu dituduh, enam daripada mereka dijatuhi hukuman denda atau penjara manakala di Sarawak, hukuman penjara yang dikenakan adalah sebanyak satu hingga empat bulan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan kerana ingkar PKP tidak akan diletakkan secara beramai-ramai dalam satu lokap.

“Berdasarkan prosedur mereka yang ditahan di sekatan jalan raya akan dibawa ke balai polis dan ditentukan sama ada dikompaun secara terus atau diberi jaminan polis untuk pulang sementara kertas siasatan terhadap mereka dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kita pun memang dari segi prosedur operasi standard kita, penjarakan sosial adalah satu meter, jadi tak timbul isu kita akan letakkan mereka berasak-asak dalam lokap. Jadi mereka akan dibenarkan pulang dan didakwa di mahkamah atau diberi kompaun terus di balai polis,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mewujudkan Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal di 97 lokasi di seluruh negara dalam waktu terdekat.

“Lokasi Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal yang dikenalpasti merangkumi 10 pasar tani terpilih, 33 pasar tani kekal, 17 pusat operasi FAMA, tiga MyFarm ‘outlet’, 34 Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan dan kompleks jabatan dan agensi yang bersesuaian.

“Hanya barang basah saja dibenarkan dijual di Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal iaitu lapan produk dibenarkan dijual adalah sayur-sayuran, buah, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

“Pasar tani terpilih di tapak tidak kekal beroperasi dua kali seminggu dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Pusat operasi FAMA, pasar tani kekal, MyFarm ‘outlet’ dan pasar tani kekal akan beroperasi setiap hari dari 8.30 pagi hingga 4 petang,” katanya yang turut mengesahkan FAMA juga akan menjual produk melalui jualan atas talian.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan proses nyah cemar di 47 kawasan iaitu 23 zon merah dan 24 zon oren.

“Proses nyah cemar dilaksanakan serentak dan akan diteruskan di kawasan kritikal lain,” katanya. – Harian Metro

586