TERKINI: 7 Kematian Baru Pesakit COVID-19 Dilaporkan, Jumlah Terkini 34 Kematian

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat tujuh kematian baharu setakat hari ini, menjadikan kes keseluruhan kematian berjumlah 34 kes.

7 kes kematian berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat jam 5 petang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan itu di Malaysia adalah sebanyak 34 kes.

“Bilangan kes baharu positif Covid-19 sebanyak 152 dan keseluruhan kes 2,470.

“Ketika ini, 73 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk 52 menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, bilangan pesakit sembuh dan telah discaj hospital seramai 68 pesakit.

“Paling tinggi setakat ini. Jumlah keseluruhan telah sembuh dan discaj 388,” katanya.

Kes kematian ke-28 (kes ke-2321), wanita tempatan 91 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat PPUM pada 26 Mac 2020 dan meninggal dunia 28 Mac, jam 8.48am.

Sumber: KKM