Peruntukan RM200 Juta Boleh Bantu JANS Sedia Tangki Statik Di Kawasan Tiada Air – Amarjit

Amarjit memantau kakitangan yang bertugas di Bahagian Khidmat Pelanggan JANS.

KOTA KINABALU: Keprihatinan Kerajaan Sabah dalam memastikan bekalan air di negeri ini tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat dihargai.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Amarjit Singh berkata, peruntukan RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur dan mengatasi masalah bekalan air, yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah pada Rabu merupakan satu usaha tepat bagi membantu rakyat yang terjejas.

Beliau berkata, isu kekurangan bekalan air ini semakin menjadi-jadi terutama di kawasan Tawau dan Kinarut yang baru berdepan dengan kekurangan bekalan.

Amarjit memantau kakitangan yang bertugas di Bahagian Khidmat Pelanggan JANS.

Maka, dengan peruntukan bantuan sedemikian, JANS boleh membekalkan tangki-tangki statik berkapasiti 5,000 atau 10,000 gelen di kawasan-kawasan yang berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Katanya, tangki-tangki ini boleh diperolehi secara terus tanpa perlu ditempah. Oleh itu, proses penyediaannya tidak akan mengambil masa yang lama.

“Melalui peruntukan daripada pakej bantuan ini, JANS boleh membeli tangki statik yang akan ditempatkan di kawasan panas (hotspot) dimana berlakunya masalah kekurangan bekalan air tanpa perlu menyediakan tangki di setiap rumah.

“Kita boleh membantu penduduk di kawasan hotspot dimana, mereka akan dibekalkan dengan air dengan kadar segera melalui penghantaran lori tangki air,” katanya kepada Borneo Today, di Pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), di sini hari ini.

Amarjit berkata, berdasarkan penggunaan tangki statik sebelum ini, ia dilihat berjaya menyelesaikan permasalahan bekalan air di kawasan terlibat.

Katanya, sebelum ini tangki statik sebegitu turut ditempatkan di Bugaya, Semporna, Kuala Penyu dan Pulau Berhala, Sandakan.

Menurutnya, apabila berlaku kemarau, JANS akan mengisi air di tangki statik tersebut untuk kegunaan semua penduduk di kawasan berkenaan.

“Bagi pihak JANS, kami berterima kasih kepada kerajaan Sabah atas pelancaran Pakej Bantuan Covid-19 itu.

”Pakej sebegini sudah tentu akan membantu meringakan bebanan rakyat yang berdepan masalah kekurangan bekalan air sepanjang tempoh PKP,” jelasnya.

Amarjit juga menasihatkan orang ramai yang berdepan masalah kekurangan bekalan air supaya menghubungi talian khidmat pelanggan JANS yang beroperasi selama 24 jam, di talian 088 326888. – BorneoToday

352