Bomba Temui Lelaki Cedera Ditikam

TAWAU: Seorang lelaki ditemui cedera di bahu dipercayai ditikam, di Batu 3, Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa, 40-an, ditemui sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dalam perjalanan melakukan khidmat kemanusiaan memusnahkan sarang tebuan di Batu 5, Jalan Apas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Zulbada Alior berkata, terdahulu, pihaknya menerima aduan mengenai kewujudan sarang tabuan pada jam 7.01 malam.

“Sepasukan anggota dan pegawai bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi memusnahkan sarang tersebut.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, anggota bertugas menemui mangsa dengan kesan darah pada lengan baju berwarna putih yang dipakainya,” katanya kepada media.

Tambahnya, mangsa yang mengalami cedera pada bahu mendakwa diserang oleh seseorang, namun tidak menjelaskan punca serangan tersebut.

“Pasukan bertugas kemudian bertindak membantu mangsa dengan memberikan rawatan awal.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau bagi menjalani rawatan sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan kurang siuman manakala dakwaannya ditikam seseorang itu adalah tidak benar,” katanya. – BorneoToday

427