Mungkin Ada Berita Baik Untuk Rakyat, PM Dijangka Umum Pakej Rangsangan Hadapi Covid-19 Hari Ini

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi lebih menyeluruh bagi membantu semua sektor dan lapisan masyarakat menghadapi cabaran wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April hari ini memasuki hari ke-10 dan tumpuan tertumpu kepada pengumuman pakej rangsangan ekonomi kerajaan yang lebih menyeluruh dalam menghadapi cabaran wabak Covid-19.

Pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Ketika menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung 2 hari lepas, Muhyiddin berkata, menerusi pakej itu, semua lapisan masyarakat di negara ini tidak akan dipinggirkan.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual pisang goreng, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat,” kata Perdana Menteri.

Tambahnya, menyedari amanah yang dipikul sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat, beliau akan melaksanakan tugas dengan baik.

Sementara itu, masih ada segelintir masyarakat yang jelas ingkar arahan berkenaan dan kerajaan dilihat tidak lagi akan berkompromi dengan memberi amaran bahawa tindakan tegas serta kawalan lebih ketat akan dilaksanakan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menggariskan prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKP bertujuan memperketatkannya, termasuk kemungkinan mewujudkan lebih banyak sekatan merangkumi pergerakan orang ramai dalam membuat pembelian barangan dan makanan harian.

Bagi mengurangkan penyebaran Covid-19, pihak berkuasa juga akan lebih tegas dan tidak akan teragak-agak mengenakan hukuman ke atas mereka yang masih berdegil.

Ini terbukti dengan 110 tangkapan ke atas individu yang tidak mematuhi PKP sepanjang tempoh 7 hari pelaksanaan arahan itu sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Sebanyak 235 kes baru dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam, menjadikan kes positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 2,031 kes, manakala jumlah kematian akibat wabak itu 23 orang.

Dalam pada itu, menurut Kementerian Luar seramai 2,982 warganegara Malaysia masih terkandas di 55 negara akibat pembatalan penerbangan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19.

Sehingga kini, seramai 2,417 rakyat Malaysia dari 26 negara telah dibawa pulang ke tanah air. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *