Datuk Rogol Cucu Saudara Di Kota Belud Kena Jel 15 Tahun

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang lelaki berusia 62 tahun yang dituduh merogol cucu saudaranya di Kampung Sangkir, Kota Belud, tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan apabila tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan ke atasnya di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Elsie Primus.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan terbabit pada tahun lalu ketika mangsa berusia 11 tahun. Kejadian terbabit dikatakan berlaku di dalam bilik sebuah rumah yang tidak bernombor di Kampung Sangkir.

Berdasarkan fakta kes, mahkamah dimaklumkan laporan polis hanya dibuat pada 13 Mac lalu setelah mangsa memaklumkan kejadian terbabit kepada ibunya pada 12 Mac.

Mangsa memberitahu ibunya bahawa tertuduh telah merogolnya sekitar 2019 dan awal tahun ini. Mangsa juga mengaku takut untuk mengadu kerana takut dimarahi tertuduh.

Peguam Kanan Persekutuan, Khairul Annuar membuat pendakwaan, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon mahkamah untuk meringankan hukumannya kerana sudah berusia dan sedar atas kesalahannya.

Bagaimanapun, Khairul memohon hukuman berat berikutan tertuduh tidak menunjukkan penyesalan dan tiada hasrat untuk memohon maaf kepada mangsa dan keluarga.

Hakim Elsie kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 tahun bermula dari hari tertuduh ditahan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *