COVID-19: Penghataran Ikan & Sayur Antara Daerah Di Sabah Dibenarkan

Foto Facebook NurShahirah Jamaludin Nsj

KOTA KINABALU: Perkhidmatan penghantaran makanan seperti ikan dan sayur-sayuran dibenarkan untuk bergerak dari satu daerah ke daerah lain sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau telah memberi arahan kepada pihak berkuasa supaya membenarkan golongan yang terlibat dalam perkhidmatan tersebut melepasi sekatan jalan raya.

“Saya telah maklumkan tadi dan bagi arahan bagi mana-mana pengangkutan untuk keperluan makanan dan sayur-sayuran yang ada.

“Kita juga telah maklumkan kepada pihak berkuasa yang membuat sekatan jalan raya ini untuk melepaskan mereka agar mereka boleh menuju ke destinasi  yang mereka ingin tujui,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, tujuan utama  sekatan di setiap daerah dilakukan adalah  untuk mengurangkan pergerakan orang ramai bagi membendung penularan Covid-19.

Tambahnya, sekatan yang dilakukan sepanjang PKP itu juga bertujuan untuk memastikan rakyat Sabah tidak sewenang-wenangnya bergerak ke satu kawasan ke kawasan yang lain.

Walau bagaimanapun,  perkhidmatan keperluan makanan asas seperti ikan dan sayur-sayuran harus diteruskan untuk memastikan setiap masyarakat di negeri ini mempunyai bekalan yang secukupnya.

“Contohnya, kalau tidak ada sayur dan ikan-ikan yang tidak dibawa ke Tawau, sudah pasti Tawau tidak ada ikan. Bagaimana pula masyarakat kita dapat bekalan.

“Mereka memang membawa keperluan makanan, kita akan pastikan mereka dapat dilepaskan daripada sekatan jalan raya yang diadakan itu,” katanya. – BorneoToday

883