Tawau Bakal Kehabisan Bekalan Sayur Dari Kundasang, Keningau

Peniaga sayur hanya menjual sayur-sayuran dari pembekal daerah Tawau sahaja.

TAWAU: Daerah Tawau dijangka akan kehabisan bekalan sayur yang dibekalkan dari daerah Kundasang dan Keningau sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Tinjauan Utusan Borneo di Pasar Tanjung mendapati bekalan sayur yang dibekalkan dari daerah Kundasang seperti kubis bunga, brokoli, baby kailan, salad dan banyak lagi sudah mulai berkurangan dijual, malah kebanyakan penjual rata-rata meluahkan kerisauan terhadap bekalan terbabit.

Peniaga, Arsyad Beddu Hassan, 65, berkata, bekalan sayur dari Kundasang memang sudah mula berkurangan semenjak PKP dilaksanakan seminggu yang lalu.

Arsyad Beddu Hassan

“Kami sebagai peniaga terpaksa berebut mendapatkan bekalan dari daerah itu tidak seperti kebiasaanya bekalan sayur dari Kundasang memang mudah didapati,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini kebanyakan peniaga hanya menjual sayur-sayuran tempatan yang ditanam di daerah ini sahaja kerana masih mudah didapati.

“Sayur tempatan kami masih boleh dapatkan dari pembekal di Jalan Hill Top dan Tawau Lama kerana mereka dilihat masih aktif menanam sayur.

“Penduduk Tawau juga tidak perlu risau untuk mendapatkan sayuran tempatan kerana setakat ini pembekal masih membekalkan sayur itu seperti biasa,” katanya.

Reni Nurdin

Kenyataan itu turut dipersetujui oleh peniaga, Reni Nurdin, 36, yang hanya menjual sayur-sayuran dari Kundasang dan Keningau sahaja.

Katanya, bekalan sayur yang ada sekarang ini hanya untuk jualan hari ini sahaja kerana sudah beberapa hari terputus bekalan sayur dari Kundasang dan Keningau.

“Kali terakhir saya dapat bekalan sayur dari sana pada hari sabtu lalu dan sehingga ke hari ini belum ada lagi tanda-tanda bekalan sayur dari sana akan datang.

“Bekalan yang ada ini pun, hanya untuk hari ini sahaja dan kemungkinan saya akan menjual sayur-sayuran yang ada dibekalkan di daerah ini sahaja,” katanya.

Reni berkata, alasan yang diberikan oleh pembekal sayur, disebabkan kenderaan mereka disuruh patah balik untuk mengambil bekalan ke Kundasang dan Keningau.

“Kami juga sebenarnya dalam keadaan ketakutan akibat COVID-19 ini tetapi kami tiada pilihan, sekiranya kami tidak menjual, kami tiada sumber lain selain menjual sayur,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

5634