Maki Polis Ketika Op Covid, Lelaki Ditahan Di Jalan Tuaran

Kereta yang dipandu suspek turut ditahan untuk siastaan kerana ingkar arahan PKP ketika sekatan jalan raya di Kota Kinabalu. Foto Juwan Riduan

Sengaja cari pasal…

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas melakukan provokasi terhadap tugas anggota polis yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di Batu 7, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, semalam

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang selepas didapati tidak memiliki lesen memandu dan bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota bertugas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam kejadian itu, suspek yang memandu kereta Iswara Aeroback bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari Manggatal ke Kota Kinabalu.

Beliau berkata, sebaik tiba di Batu 7, berhampiran sebuah pasar raya, kereta dipandunya ditahan anggota polis yang tujuan pemeriksaan Op Covid-19.

Menurutnya, ketika diperiksa, pemandu itu tidak memiliki lesen memandu menyebabkan anggota bertugas mengeluarkan saman.

“Suspek tidak dapat terima kenyataan dan mula marah apabila polis meminta rakannya keluar daripada kereta kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

“Suspek meluru ke anggota polis dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil melakukan provokasi menumbuk bonet keretanya dengan kuat.

“Bagi mengawal keadaan anggota polis bertindak menahan suspek terbabit dan merampas kereta dipandunya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

SumbeR: Harian Metro

5714