Jemaah Sertai Ijtimak Tabligh Sulawesi Akan Dikuarantin Lebih Lama

Shafie (tengah) ketika sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengenal pasti semua rakyat negeri ini yang hadir ke Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia 2020 Sulawesi akan dikuarantinkan lebih daripada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kesemua peserta berkenaan akan dikuarantinkan di Pusat Kuarantin Tawau lebih daripada 31 Mac bagi memastikan mereka tidak mempunyai jangkitan wabak COVID-19.

“Usaha ini untuk memastikan mereka tidak membawa jangkitan berkenaan sehingga merebak ke kampung masing-masing, saya difahamkan ada diantara mereka berasal dari Beaufort, Kuala Penyu dan Tawau.

“12 orang sudah kita kuarantinkan, semalam ada lima orang lagi dan akan datang ada sembilan lagi peserta berkenaan akan kita bawakan ke pusat kuarantin di Tawau.

“Kita akan kenal pasti mereka dan kita akan kuarantinkan, sekiranya mereka menggunakan jalan tikus, takut nanti mereka balik kampung,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, pihak imigresen akan mengetatkan lagi peraturan sedia ada agar mereka yang balik pastikan dikuarantinkan memandangkan negara jiran tidak mempunyai pusat kuarantin untuk kerajaan Sabah mengadakan kerjasama bagi menempatkan sementara peserta itu di sana.

Katanya, setakat ini seramai 171 peserta tabligh negeri ini sudah dikenal pasti positif COVID-19 dan sebahagian kecil adalah berdasarkan kes kontak rapat.

“Mereka yang bukan dari peserta tabligh yang positif COVID-19 akan dikenalpasti termasuk siapa kontak rapat mereka.

“Siasatan lebih dalam akan dilakukan dalam perkara ini agar kita akan kuarantinkan suspek COVID-19 dalam rumah masing-masing dan membuat pemeriksaan terhadap mereka,” katanya.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak diperlukan khususnya peserta tabligh untuk tampil ke hadapan secara sukarela. Bukan untuk menghukum tetapi agar mampu mengawal keadaan agar jangkitan itu tidak merebak kepada golongan tua dan anak-anak.

Sementara itu katanya, beberapa kilang dan ladang di Kinabatangan serta Lahad Datu akan dihentikan operasinya buat seketika selepas difahamkan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerjanya.

Katanya, perniagaan sistem barter diantara negera jiran juga dihentikan sementara waktu.

Selain itu katanya, Kerajaan Sabah juga akan membantu semua pelajar Sabah di semua institusi pendidikan seluruh negara dengan memastikan bekalan makanan mereka mencukupi sepanjang PKP.

“Ini memastikan mereka tidak keluar dari kampus dan sentiasa berada di hostel masing-masing,” katanya.

Katanya, pengedaran topeng muka dan cecair pembasmi kuman juga telah diedarkan kepada petugas barisan hadapan. Kerajaan negeri juga akan mengedarkan kepada masyarakat serta para pelajar universiti di sini bergantung dengan bekalan yang diperolehi.

“Kita memberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan dahulu, masyarakat yang dikehendaki duduk di rumah tidak perlu memakai topeng ini kecuali mempunyai urusan di luar rumah sahaja, sebab itu PKP dilaksanakan untuk mengawal pergerakan anda semua.

“Sekolah yang tidak ada air kita akan edarkan ‘hand sanitizer’ dan sekolah yang ada air, mereka dikehendaki menggunakan sabun mencuci tangan sahaja,” katanya.

Shafie menasihatkan masyarakat kena membasuh tangan dan menjaga kebersihan memandangkan COVID-19 tidak mempunyai ubat.

“Mencegahlah dengan tidak keluar dari rumah dan jangan ada kontak rapat,” katanya.

Sementara itu, Shafie turut menjelaskan pakej rangsangan ekonomi Sabah akan diumumkan pada Rabu ini.

SumbeR: Utusan Borneo

630