3 Individu Langgar Arahan Kuarantin Dikenakan Tindakan

KOTA KINABALU:  Akibat gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin di rumah, tiga individu yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang dijangkiti Covid-19 di Papar telah dikenakan tindakan undang-undang.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan berkata, tiga individu itu dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 15 (1), Akta  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jelasnya, mana-mana individu yang melakukan sesuatu kesalahan di bawah akta ini boleh dipenjarakan selama tempoh dua tahun atau didenda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 24, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tambahnya, setakat ini terdapat 12 pusat kuarantin yang telah dibuka di lapan daerah iaitu Kota Kinabalu, Ranau, Beaufort, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Tawau dan Tuaran.

Mengulas lanjut, beliau menafikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ada memohon bantuan kewangan daripada orang awam untuk tujuan pembelian alat perlindung diri (PPE) seperti yang ditularkan di media sosial.

Christina berkata, JKNS tiada membuat permohonan sebegitu.

Katanya, pembelian peralatan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak JKNS dan masih menunggu penghantaran stok.

“Sekiranya terdapat mana-mana agensi, persatuan ataupun individu persendirian yang ingin memberi sumbangan ikhlas, dinasihatkan berurusan dengan pihak JKNS terlebih dahulu.

“Setakat ini, antara agensi yang telah dikenal pasti untuk menyalurkan sumbangan kepada JKNS adalah Lembaga Pelawat Hospital Queen Elizabeth dan OSIMAL Foundation,” katanya.

Mengenai kes Covid-19 di Sabah, daripada 169 kes positif yang dilaporkan, 87 kes adalah peserta Perhimpunan Ijtima’ di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Manakala 76 kes pula merupakan kontak kepada kes-kes ini dan selebihnya  kes yang tidak berkaitan dengan kes-kes tersebut.- BorneoToday