Semua Peserta Himpunan Tabligh Perlu Jalani Saringan Covid-19, Meski Tiada Gejala

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua anggota jemaah tabligh yang menyertai himpunan di Majid Sri Petaling bulan lepas perlu menjalani ujian saringan Covid-19, termasuk mereka yang tidak menunjukkan gejala jangkitan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hari ini dan menyarankan semua peserta tabligh tersebut datang membuat saringan ke klinik kesihatan atau hospital berhampiran.

“Memang sekarang ini tak ada simtom pun untuk anggota jemaah tabligh akan disaring semua.

Semua peserta himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling bulan lepas diminta datang membuat saringan ke klinik kesihatan atau hospital berhampiran walaupun tidak menunjukkan gejalan jangkitan Covid-19.

“Pada mula kalau ikut WHO ambil saringan kalau ada gejala. Tak ada gejala kita (hanya) periksa dan tidak buat saringan.

“Hari ini kita telah setuju untuk buat saringan walaupun tak ada gejala,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di sini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta himpunan berkenaan sudah pun disaring daripada jumlah keseluruhan 16,000 seperti dilaporkan.

Ahli mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia Abdullah Cheong dalam satu kenyataan semalam berkata, di sebalik angka 16,000 yang disebut banyak pihak, data rasmi Masjid Sri Petaling menunjukkan lebih kurang 12,500 orang, termasuk 1,600 tetamu luar negara menghadiri himpunan itu di dari 28 Feb hingga 2 Mac.

Katanya, ini bermakna kehadiran peserta tempatan adalah sekitar 11,000 orang.

Berdasarkan rekod KKM setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta sudah pun disaring, menjadikan hanya sekitar 500 peserta tempatan yang belum disaring dalam usaha membendung penularan Covid-19, katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM akan bekerjasama dengan polis bagi mengesan semua peserta tabligh terbabit.

Katanya, langkah ini bertujuan membawa mereka ke hospital atau klinik.

“Jadi penting untuk kesan. Apabila dapat kesan mereka, baru laksanakan ujian Covid-19.

“Kalau positif mereka akan dimasukkan ke hospital atau pusat kuarantin. Kalau negatif mungkin akan lihat rawatan susulan. Mereka mungkin dalam kuarantin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, kementerian juga sedang meneliti langkah untuk menambah sumber manusia bagi membantu kakitangan sedia ada..

Katanya, mereka yang berpengalaman seperti jururawat bersara dan pakar yang telah bersara atau berhenti akan diambil bekerja semula secara kontrak.

“Mereka boleh bantu kita dalam usaha tingkatkan sumber manusia. Kita sasar 2,000 orang,” katanya.

Sebelum itu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta kepada KKM dalam usaha memerangi Covid-19 yang setakat ini meragut 14 nyawa dan lebih 1,500 orang dijangkiti virus itu di Malaysia.

Katanya, tambahan RM100 juta lagi adalah untuk kementerian mengambil 2,000 kakitangan tambahan, terutamanya jururawat. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *