LAHAD DATU: Sudahlah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (MCO), memburu secara haram pula.
Itu adalah tindakan sekumpulan lelaki yang dikesan membawa empat ekor bangkai haiwan dilindungi dipercayai hasil pemburuan haram di Hutan Simpan Ulu Segama, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 12.20 tengah malam itu, kumpulan pemburu haram berkenaan dikesan menaiki kenderaan oleh sepasukan Tiger Platoon Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu yang melancarkan Op Khazanah di situ.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan penjenayah terbabit bertindak melarikan diri bagi mengelak diberkas.
“Operasi mencari dan mengesan kumpulan terbabit berhasil apabila pasukan keselamatan menemukan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang ditinggalkan di ladang kelapa sawit berhampiran hutan simpan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, pihak berkuasa percaya kenderaan itu yang dinaiki kumpulan pemburu haram terbabit berikutan penemuan empat bangkai haiwan yang sudah dilapah di bahagian belakang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan rapi mendapati bangkai haiwan terbabit adalah masing-masing dua ekor pelanduk dan rusa.
“Kenderaan itu seterusnya dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Polis berjaya menemukan sebuah beg sandang yang mengandungi beberapa barangan peribadi dipercayai milik suspek termasuk kad pengenalan, lesen memandu, pisau dan telefon bimbit,” katanya
Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menahan seorang lelaki tempatan, 32, yang datang ke balai polis untuk menyerah diri.
Menurut Nasri, suspek yang sudah berkahwin itu mengaku terbabit dalam pemburuan haram itu bersama tiga lagi rakannya.
“Sehubungan itu, polis memburu tiga lagi suspek terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Operasi itu turut disertai Team World Wildlife Fund dan Jabatan Perhutanan Sabah (PROTECT).
SumbeR: BorneoToday