Dua Pegawai & 3 Anggota Polis Ranau Dikuarantin

Zaini (kiri) dan Haris (kanan) ketika melakukan tinjauan di premis sekitar Penampang. Foto Juwan Riduan

RANAU: pegawai berpangkat Inspektor dan tiga anggota berpangkat rendah diarahkan dikuarantin di rumah masing-masing selepas mempunyai kontak dengan seorang lelaki dijangkiti Covid-19.

Lelaki berusia 40-an itu dikatakan datang ke Balai Polis Ranau baru-baru ini dan dia didapati dijangkiti Covid-19.

Kelima-lima anggota yang mempunyai kontak dengan lelaki itu kemudian diarahkan menjalani pemeriksaan di Hospital Ranau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, selepas dinasihatkan menjalani pemeriksaan di hospital dan mendapati mereka semua negatif daripada wabak Covid-19.

“Selepas menjalani pemeriksaan seperti mana diarahkan oleh doktor, Alhamdulillah semua mereka tidak ada tanda-tanda positif.

“Namun doktor mengarahkan supaya semua mereka menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selama 14 hari,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di premis sekitar Penampang, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Harid Ibrahim.

Zaini berkata, pihaknya mengambil berat soal keselamatan dan kesihatan pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut disertai pasukan tentera hari ini, Zaini berkata, semua berjalan dengan lancar di Sabah.

“Seramai 466 anggota tentera terbabit dengan sekatan jalan di 17 daerah di seluruh negeri dalam PKP yang memasuki hari kelima.

“Pematuhan masyarakat awam dilihat mencapai 95 peratus dan pihaknya dijangka meningkatkan lagi aspek penguatkuasaan SJR di daerah utama seperti Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *