Waktu Operasi Premis Perniagaan Di Sabah Sehingga 6 Petang

Suasana UTC di nandar Tawau hari ini

KOTA KINABALU: Semua waktu operasi pasar, stesyen minyak, pasaraya atau kedai serbaneka dan restoran di setiap daerah di negeri ini dipendekkan buat sementara waktu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan Datuk Masnah Matsalleh dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, kementerian telah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menguatkuasakan waktu operasi baharu bagi premis yang dibenarkan dibuka.

Katanya, keputusan untuk memendekkan waktu operasi itu dibuat dalam mesyuarat Pusat Arahan Covid-19 negeri Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) semalam.

Oleh itu, berkuatkuasa serta-merta sehingga 31 Mac, semua pasar awam dan stesyen minyak di setiap daerah hanya akan beroperasi bermula 6 pagi sehingga 2 petang.

Manakala, restoran, pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka pula akan beroperasi bermula 6 pagi hingga 6 petang.

Semua operasi jeti penumpang awam antara daerah (inter-district) adalah ditutup bermula 22 Mac sehingga PKP tamat (31 Mac), kecuali Jeti Penumpang Menumbok.

Katanya, PBT hendaklan mengambil tindakan menutup jeti-jeti penumpang awam antara daerah yang terletak di bawah seliaan PBT.

Langkah-langkah berkenaan diambil sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19 di Sabah.

Sehingga semalam, Sabah merekodkan 136 kes positif Covid-19 dengan satu kematian dilaporkan di Tawau pada Jumaat (19 Mac).

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lapan kes kematian termasuk lima kes kematian baharu.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga semalam adalah sebanyak 1,183 kes termasuk 114 kes yang telah sembuh.

Manakala, sebanyak 37 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *