Mayat Lelaki Hilang Dipercayai Dibaham Buaya Ditemukan

KINABATANGAN: Mayat lelaki yang dikhuatiri hilang dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ikan di sungai Tanjung Bulat Jungle Camp, di sini, ditemukan pagi tadi.

Mangsa, Zulkifli Azmi, 23, yang juga pekerja pusat pelancongan itu ditemui penduduk kira-kira pukul 9 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaludin, berkata mayat mangsa ditemui di sekitar lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya semalam.

“Pasukan bomba membantu mengambil mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian ditamatkan pada pukul 10.11 pagi,” katanya.

Semalam, media melaporkan mangsa dipercayai dibaham buaya ketika memukat di kawasan sungai itu dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi sebelum pasukan bomba melancarkan operasi SAR. – BorneoToday