Lagi 300 Tabligh Sedang Dikesan Di Negeri Ini – Pesuruhjaya Polis Sabah

KOTA KINABALU: Pasukan polis melalui Unit Cawangan Khas akan mengesan 300 lagi ahli tabligh yang masih belum tampil menjalankan pemeriksaan kesihatan berkaitan wabak Covid-19 di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, daripada 1,000 orang yang masih belum tampil menjalankan pemeriksaan, 700 orang sudah berjaya dikesan dan hanya kira-kira 300 lagi belum dapat dikesan.

Beliau berkata, keberadaan mereka ini belum dapat dipastikan kerana apabila madrasah ditutup, mereka ini tidak dapat dihubungi.

”Maka, kita akan menggunakan bantuan Unit Cawangan Khas bagi mengesan di mana mereka berada.

”Kita meminta mereka ini tampil secara sukarela untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital berhampiran.

“Kita mengesan mereka bukan untuk ditangkap sebaliknya kita mahu membantu mereka.

“Sekiranya mereka ini sakit, kita mahu mereka dirujuk ke hospital supaya mereka boleh sembuh dan jika disahkan mereka ini sihat, alhamdulillah,” katanya ketika mengulas mengenai bilangan peserta Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang masih belum dikesan di Sabah.

Menurutnya, tiada ruang untuk mereka ini terlepas jadi, adalah lebih baik mereka ini tampil ke hadapan agar pemeriksaan kesihatan dapat dilakukan ke atas mereka dan kontak terdekat mereka.

Menyentuh tentang kes di Wilayah Persekutuan Labuan dimana, lelaki 80 tahun didakwa dibawa ke hospital dengan menggunakan kekerasan, Zaini menegaskan kekerasan yang digunakan anggota polis itu sangat minima.

Video yang tular tidak memperlihatkan situasi sebenar yang menunjukkan lelaki berkenaan meronta-ronta minta dilepaskan kerana enggan ke hospital.

Katanya, tindakan suspek boleh mendatangkan kecederaan kepada diri sendiri dan kemudaratan kepada pasukan polis.

Atas sebab itu, polis terpaksa menggunakan kekerasan yang minima untuk membawa lelaki berkenaan menjalani pemeriksaan di hospital. Ia kerana usaha petugas kesihatan untuk meminta pesakit datang ke hospital secara sukarela pada Khamis tidak berjaya kerana lelaki terbabit enggan memberi kerjasama.

Lelaki itu difahamkan tinggal serumah dengan anaknya yang merupakan kontrak rapat kepada seorang peserta tabligh di Masjid Sri Petaling, yang disahkan positif Covid-19.

Zaini berkata, tiada kekerasan melampau digunakan kerana Ketua Polis Negara sudah berpesan agar hanya menggunakan kekerasan minima, paling berhemah dan profesional dalam menghadapi pesakit Covid-19.

Semalam, pesakit pertama Covid-19 di Sabah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau pada 6.27 petang.

Lelaki dikenali sebagai Mohamad Bartuk,58, itu merupakan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Dengan itu, jumlah kematian direkodkan di Malaysia bertambah kepada tiga. Pada Selasa, dua kematian direkodkan membabitkan peserta perhimpunan tabligh (lelaki) berusia 34 tahun di Johor dan paderi berusia 60 tahun di Sarawak.

Setakat semalam, Sabah merekodkan  tujuh lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 119 kes. – BorneoToday

2934