COVID-19: Polis Akan Bertegas Jika Orang Ramai Masih Berkumpul

Anggota polis mengadakan sekatan jalan raya di Bandar Tawau bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19. – Foto Jummain Sawal

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya masih terdapat ada penduduk yang berdegil dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tindakan itu bakal dilaksanakan sebaik saja PDRM mendapat kebenaran daripada jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pada masa ini pihaknya masih menggunakan pendekatan memberi amaran dan nasihat kepada orang awam yang mengingkari arahan kerajaan untuk berada dalam rumah, kecuali membabitkan pekerja dan kakitangan perkhidmatan penting.

“Jadi disebabkan inilah pihak kami mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dengan keseluruhan jumlah semalam membabitkan 504 sekatan.

“Selain sekatan jalan raya, pihak polis turut mewujudkan pasukan tertentu yang memantau lokasi panas yang menjadi tumpuan orang ramai yang masih berdegil dan berkumpul,” katanya dalam sidang media ketika meninjau sekatan jalan raya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pendekatan melalui sekatan jalan raya ini masih belum berhasil, pihaknya akan merujuk jawatankuasa khas berkenaan untuk sebarang tindakan bentuk tindakan baharu.

“Saya berharap kita dapat mencapai sasaran sebanyak 80 hingga 90 peratus jumlah orang awam yang mengikut arahan kerajaan. Mungkin boleh mencecah 95 peratus dan dianggap baik.

“Saya harap orang ramai faham ya. Jangan biarkan sampai ke tahap bahaya nanti kami terpaksa mengambil tindakan lebih drastik dengan melakukan tangkapan. Janganlah sampai ke tahap itu. Apa yang penting kita tidak mahu tambahkan lagi risiko jangkitan COVID-19 ini,” katanya.

Hamid berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang baik dalam usaha bersama menangani jangkitan Covid-19 daripada menular dan merebak kepada orang lain. – Berita Harian

868