Anggota DBKK Bantu KKM Jalankan Kerja Pembasmian Kuman

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil inisiatif membantu kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan kerja-kerja pembasmian kuman atau penyahkuman di sekitar kawasan-kawasan yang berisiko.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Arifin Asgali berkata, memandangkan KKM kekurangan anggota dalam menangani penularan wabak Covid-19, anggota DBKK mengambil langkah untuk membantu.

Katanya, setakat ini lima pasukan disertai lima anggota DBKK turun membantu menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko.

”Pasukan ini memulakan kerja pembasmian kuman sejak semalam dan kerja-kerja ini akan berterusan selagi diperlukan oleh KKM.

”DBKK bukan sekadar membantu dari segi tenaga kerja, kami turut membantu dari segi logistik sekiranya KKM perlu bantuan kenderaan seperti kereta mahupun bot untuk ke pulau-pulau sekiranya diperlukan.

“Anggota DBKK akan melakukan pembasmian kuman di kawasan yang telah dikenal pasti KKM sebagai kawasan ‘hotspot’,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, cecair pembersihan kuman disediakan oleh KKM dan anggota DBKK hanya membantu melakukan kerja-kerja semburan bagi membasmi kuman.

Katanya, kawasan yang dikenal pastik tidak boleh didedahkan bagi mengelak berlakunya panik dalam kalangan orang awam.

Setakat ini Sabah merekodkan 82 kes positif Covid-19, dengan 25 kes baharu.

Kawasan Kota Kinabalu merekodkan kes ketiga tertinggi di Sabah dengan 12 kes selepas Lahad Datu 23 kes dan Tawau dengan 16 kes.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *