KUALA LUMPUR: Tindakan balik kampung atau bercuti dalam negeri untuk tempoh dua minggu ke depan hanya akan menggagalkan langkah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19, kata pakar.
Pakar kawalan penyakit berjangkit, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata orang ramai sepatutnya tidak ke mana-mana sepanjang tempoh tersebut.
“Tidak, jawabannya ialah tidak. Kekal di mana anda berada.
“Tujuan utama arahan yang dikeluarkan ini ialah mengehadkan sebarang pergeraka, meminumumkan kontak dalam kalangan orang ramai yang boleh menyebarkan virus,” katanya melalui ciapan di Twitter malam tadi.
Adeeba yang juga dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya berbuat demikian sebagai langkah menjelaskan apa yang beliau nyatakan kepada stesen Astro Awani semasa ditanya sama ada wajar untuk orang ramai balik kampung semasa tempoh Perintah Larangan Pergerakan berkuat kuasa.
Peraturan itu akan dilaksanakan mulai esok sehingga 31 Mac. Ia turut memnbabitkan penutupan sekolah serta pusat pengajian tinggi kerajaan dan swasta.
Premis yang tidak kritikal juga akan ditutup. Tindakan itu menyebabkan ramai orang tidak boleh bekerja, manakala pelajar pula tidak perlu ke sekolah.
Sementara itu, seorang bekas pegawai perubatan, Dr Amar Singh HSS, berkata pelaksanaan Perintah Larangan Pergerakan tidak sepatutnya dimanfaatkan sebagai waktu untuk bercuti.
Selain itu, katanya, orang ramai juga tidak perlu membuat pembelian panik kerana ia hanya akan meningkatkan risiko untuk mereka dijangkiti penyakit Covid-19.
“Ini berbahaya. Ia membantu penyebaran koronavirus. Hentikan pembelian panik,” katanya melalui Tiwtter. – MalaysiaKini