Pembersih Tangan Antiseptik Dan Topeng Muka Habis Dijual

Pembersih tangan antiseptik dan topeng muka habis dijual

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah mereka yang positif wabak COVID-19 dalam negeri ini menyebabkan pembelian panik dalam kalangan masyarakat bukan sahaja barangan makanan, tetapi juga produk kesihatan seperti pembersih tangan antiseptik serta topeng muka.

Tinjauan pada sebuah farmasi di sini semalam menunjukkan orang ramai bukan sahaja membeli produk pembersih tangan antiseptik, mereka juga membeli produk kesihatan seperti alcohol pad, medipal alcohol wipe dan sebagainya.

Menurut kakitangan farmasi berkenaan, walaupun COVID-19 sudah tular dalam negeri ini, masyarakat awam tidak seharusnya panik.

Katanya, masyarakat perlu melindungi diri sendiri dan keluarga dengan langkah-langkah pencegahan awal untuk tidak pergi ke kawasan-kawasan awam yang mempunyai ramai orang bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Jagalah kesihatan diri anda sehingga masalah yang dihadapi ini selesai,” katanya.

Menurutnya, kawalan terhadap pengeksportan topeng muka oleh pihak kerajaan juga harus diterhadkan, agar bekalan untuk penggunaan rakyat dalam negara ini mencukupi.

Pada masa yang sama katanya, kawalan ketat juga perlu dilakukan terhadap harga-harga produk kesihatan seumpamanya memandangkan harga jualan atas talian untuk produk-produk berkaitan adalah sangat tinggi.

Katanya lagi, bekalan topeng muka di bandaraya ini sangat sukar untuk diperolehi dan ianya sudah berlarutan beberapa minggu

“Walaupun ianya sudah habis dijual, pengguna masih datang ke farmasi setiap hari untuk bertanyakan bekalan berkenaan,’ katanya.

Sumber: Utusan Borneo

487