Aktiviti Masjid, Surau Di Seluruh Sabah Ditangguh

Datuk Bungsu Jaafar

KOTA KINABALU: Semua aktiviti di masjid dan surau di Sabah ditangguhkan selama 10 hari bermula esok susulan perkembangan penularan wabak Covid-19.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu Jaafar berkata, aktiviti termasuk solat berjemaah di masjid dan surau ditangguhkan sehingga 26 Mac.

“Sepanjang tempoh itu, semua masjid dan surau dinasihatkan membuat pembersihan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Namun lanjutan atau penamatan tempoh 10 hari berkenaan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Fatwa Negeri Sabah hari ini.

Bungsu berkata, dalam keadaan sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah mesti dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 27-29 Oktober 2015 mengenai “Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola di Malaysia.”

“Ia merangkumi pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

“Dalam hal ini, jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan oleh pakar perubatan dijangkiti virus Covid-19 diharuskan diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg atau pembalut plastik yang membalut jenazah.

“Namun sekiranya jenazah masih boleh mendatangkan mudarat kepada pengendali walaupun dengan menggunakan kaedah tayammum, maka jenazah wajib dikafankan, disolatkan dan dikebumikan tanpa dimandikan.

“Perkara ini berasaskan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 4 hingga 5 Mac 2020,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *