Sabah Kongsi Mata Di Likas

KOTA KINABALU: Walaupun dua kali ketinggalan, Perak berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan Liga Super apabila mengikat Sabah 2-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi. 

Beraksi dalam suasana stadium kosong, skuad Tambadau terlebih dahulu berada di depan pada minit kelima hasil sepakan percuma Mohd Azzizan Nordin dari jarak kira-kira 30 meter di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring.

Bagaimanapun, The Bos Gaurus berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi Shahrel Fikri Md Fauzi yang mudah menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, dalam keadaan satu lawan satu. 

Pada minit ke-27, gerakan menarik di antara Petrus Shitembi dengan Alto Linus membolehkan Guy Gnabouyou meledakkan gol pertamanya buat Sabah seterusnya menjadikan kedudukan 2-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula separuh masa kedua, Perak terlebih dahulu memiliki peluang baik, namun percubaan Guilherme De Paula Lucrecio pada minit ke-48 berjaya ditepis Rozaimie sebelum bola sekadar singgah di palang. 

Tujuh minit kemudian, Gnabouyou berpeluang menambah jaringan tetapi tandukannya hasil hantaran Alto terus ke dakapan penjaga gol walaupun tidak dikawal.

Pada minit ke-79, Shahrel Fikri sekali lagi mengecewakan tuan rumah apabila mudah menyepak masuk bola ke gawang selepas melepasi kawalan pertahanan bagi menjadikan kedudukan 2-2 dan ianya kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat. 

Keputusan lain:
Liga Super
JDT 1 FELDA UNITED 1
MELAKA 0 PAHANG 1

Liga Perdana
SARAWAK UNITED 1 KUALA LUMPUR 2
UKM FC 0 JDT II 0
TERENGGANU II 2 KELANTAN 1

550