Tiada Pembelian Panik Di Sabah, Bekalan Barangan Keperluan Asas Mencukupi

Abd Muis Samsudin meninjau barangan keperluan asas di pasar raya Bataras, Kolombong. FOTO Yun Mikail

KOTA KINABALU : Barangan keperluan asas termasuk makanan di negeri ini masih mencukupi dan tiada pembelian luar biasa susulan penularan wabak Covid-19.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, Pegawai Pemantau Harga seluruh negeri melaporkan tidak berlaku sebarang pembelian panik sepanjang pemeriksaan membabitkan 31 premis pasar basah, 13 buah pasar raya besar, 48 pasar raya dan 58 kedai runcit serta pasar mini yang dilaksanakan sejak semalam.

“Kita mengambil tindakan proaktif dengan membuat pemantauan berkaitan kedudukan bekalan barang keperluan di negeri ini dan ia dilaksanakan secara berterusan.

“Pemeriksaan ini dibuat berikutan berita pembelian panik barangan keperluan isi rumah, baru-baru ini disebabkan wabak Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini,” katanya selepas pemantauan di pasar raya Bataras Kolombong di sini, hari ini.

Georgie berkata, KPDNHEP Sabah juga akan memastikan bekalan semua barangan keperluan selain barang kawalan tidak terputus dan dijual pada harga berpatutan.

Menurutnya, pemeriksaan terbabit sekali gus memastikan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung dijual pada harga yang ditetapkan kerajaan.

“Kita mengingatkan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan situasi wabak Covid-19 dan sesiapa yang didapati menaikkan harga barangan secara tidak berpatutan, tindakan akan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *