Covid-19: Jangan Cemas, Keadaan Di Sabah Terkawal

TONGOD: Jangan cemas, jangan buat pembelian palik, keadaan sangat terkawal dan kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa.

Demikian pesanan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong kepada masyarakat agar tidak panik dengan penularan wabak koronavirus yang telah disahkan positif dihidapi oleh sekurang-kurangnya 15 pesakit di negeri ini.

Jaujan berkata, rakyat hanya perlu mematuhi nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Perkara penting ialah jangan cemas, pencegahan dan kena ada yakin diri dan di samping itu seperti mana juga dimaklumkan perhimpunan-perhimpunan ini dielakkan tetapi bekerja keluar seperti biasa jangan sampai duduk rumah pula mau makan apa ini bukan darurat.

“Cuma kena kawal keadaan itu, jadi itulah pesanan kita daripada kerajaan pimpinan yang ada ini kepada rakyat supaya berhati-hati dan jangan cemas, kerajaan kita pun sentiasa mengambil langkah-langkah dan sentiasa buat pemantauan apa yang berlaku setiap jam dia akan pantau kita ada jawatankuasa yang ditubuhkan khas dalam mencegah wabak yang berlaku,” katanya ketika ditemui dalam majlis bersama rakyat di Dataran Tongod hari ini.

Semalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan semua perhimpunan melibatkan orang ramai melebihi 50 orang di negeri ini hendaklah ditangguhkan bagi mengawal wabak koronavirus.

Keputusan tersebut menyebabkan Program Pelancaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Hijau yang dijadualkan di Tongod pada hari ini terpaksa ditangguhkan.

Jaujan berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah pencegahan bukannya pengisytiharan darurat, justeru rakyat tidak perlu cemas sebaliknya hidup dalam keadaan biasa serta meneruskan kerja masing-masing.

Katanya, paling penting adalah rakyat perlu mengambil langkah pencegahan bavi mengelak dijangkiti kerana belum ada jaminan rawatan terhadap virus berkenaan.

“Jadi saya berharap dengan apa yang melanda wabak koronavirus saya ingat rakyat di bandar, kampung pun sudah maklum cuma jangan berlaku macam semalam sehingga semalam saya nampak dalam media sosial berebut-rebut mendapatkan sumber makanan bukan sahaja yang orang kata penutup muka.

“Tapi saya ingat yang penting ini pecegahan, yang kita buat sekarang ini ialah daripada segi pencegahan pasal kalau wabak ini sudah berjangkit sudah kena individu sudah tentu bukan mudah kita rawat kita ubat, langkah awal ini pencegahan ini yang sekarang ini salah satu pencegahan semua aktiviti yang dianjurkan yang telah dirancang sebelum ini kita tangguhkan tidak dibatal, bila sudah pulih seperti biasa kita teruskan,” katanya.

Sumber: BorneoToday

3574