Sabah Rekod Kes Tertinggi Positif Covid-19

SABAH REKOD KES TERTINGGI POSITIF COVID-19 BERKAITAN PERHIMPUNAN TABLIGH

KUALA LUMPUR: Sabah merekodkan kes positif paling banyak berbanding negeri lain seluruh Malaysia bagi kes Covid-19 yang berkaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di Kuala Lumpur sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada 7.30 malam menyatakan, daripada 77 kes Covid-19 berkaitan dengan perhimpunan itu, kes di Sabah merupakan kes tertinggi.

“Dengan pertambahan 37 kes baharu ini, jumlah kumulatif kes yang disahkan dijangkiti Covid-19 yang berkaitan dengan perhimpunan itu adalah 77 kes.

“Kes positif banyak dikesan di Sabah 26 kes; Negeri Sembilan 11 kes; Sarawak enam kes; masing-masing lima kes di Johor, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang. Manakala, Kelantan tiga kes; masing-masing dua kes di Perak, WP Labuan, Pahang, Kedah dan WP KL & Putrajaya; dan satu kes di Perlis.

“Kesemua 77 kes ini masih dirawat di hospital seluruh negara. Manakala, satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, setakat 7 malam tadi, seramai 4,942 peserta menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur telah berjaya dikenalpasti.

Daripada jumlah ini, 3,069 telah datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan.

Katanya, seramai 137 orang telah dirujuk ke hospital dan seramai 1,634 mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan telah diambil sampel. Manakala 2,932 peserta telah diarahkan bagi menjalani kuarantin di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh berkenaan.

Menurutnya, siasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan.

Tambahnya, daripada 41 kes baharu yang direkodkan hari ini, 37 kes berkaitan dengan perhimpunan tabligh tersebut.

Selebihnya, tiga kes adalah kontak rapat kepada kluster kes ke-33 yang dilaporkan sebelum ini dan satu kes mempunyai sejarah perjalanan ke Iran.

Dengan pertambahan 41 kes baharu itu, jumlah keseluruhan kes di Malaysia adalah sebanyak 238 kes termasuk 35 kes yang telah sembuh.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *