SANDAKAN: Hospital Duchess of Kent (HDOK) mengambil langkah keselamatan bagi mengelak penularan COVID-19 dengan mengehadkan jumlah pelawat di hospital berkenaan, serta mengeluarkan larangan terhadap kanak-kanak melawat wad.
Larangan itu berkuatkuasa serta merta bermula hari ini dengan cuma membenarkan jumlah pelawat wad kepada maksimum dua orang untuk pesakit pada satu masa.
Pengarah HDOK, Dr Francis Paul dalam kenyataannya berkata, hospital itu juga tidak membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah melawat pesakit di wad.
Katanya, larangan itu juga dikenakan terhadap pelawat yang bergejala Influenza seperti sakit tekak, selesema, demam, muntah dan cirit-birit.
“Peraturan ini berkuatkuasa serta-merta dan sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak.
“Masa melawat juga dipendekkan iaitu bermula jam 1 petang hingga 2 petang dan 5 petang hingga 6.30 petang, termasuk hari bekerja, cuti umum dan cuti am,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sumber: BorneoToday