Tidak Berbangkit Soal Sabah Serah Haknya

Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Cadangan mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) tiada kaitan dengan soal menyerahkan hak Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, andaian dan tuduhan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah tidak tepat dan tidak berasas.

Hajiji berkata, dalam suasana dan keadaan politik sekarang, mewujudkan semula JPPS merupakan jalan terbaik supaya rakyat Sabah dapat menikmati manfaat program dan projek pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya hairan dengan kenyataan Mohd Shafie. Dia seolah-olah tidak sedar dan tidak menerima hakikat bahawa kerajaannya kini adalah kerajaan pembangkang di peringkat Persekutuan,” katanya pada kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Shafie yang mendakwa Hajiji, sebagai rakyat Sabah, tidak wajar untuk mencadangkan JPPS diwujudkan semula yang sama seperti memberikan lebih banyak hak Sabah ke tangan orang lain.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman menegaskan, tidak berbangkit soal Sabah menyerahkan haknya kepada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sekiranya Mohd Shafie bimbang kehilangan kuasa dalam mengurus dan mengatur projek dan peruntukan Persekutuan di Sabah, maka Mohd Shafie harus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Persekutuan hari ini yang dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN).

“Sebaliknya bukan hanya sekadar mahu mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Pusat, tetapi dalam masa yang sama kekal dengan pendirian tidak menyokong Perikatan Nasional,” tegasnya.

Hajiji berkata, mewujudkan semula JPPS merupakan jalan terbaik untuk Sabah dan wajar dilakukan bagi melicin dan meningkatkan lagi pelaksanaan program serta projek pembangunan untuk kepentingan rakyat di negeri pembangkang.

Katanya, JPPS pernah diwujudkan di Sabah semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah Sabah sebagai pembangkang dan juga diwujudkan di Kelantan.

“JPPS merupakan platform mewakili Kerajaan Persekutuan di Sabah. Tujuannya adalah menjadi jabatan menyelaras dan memantau pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan.

“Mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri merupakan perkara biasa yang dilakukan di mana-mana negeri yang dikuasai oleh pembangkang,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Mohd Shafie kesal dengan tindakan pemimpin politik di negeri ini yang menyuarakan hasrat supaya kerajaan negeri mengembalikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan.

Mohd Shafie menyifatkan cadangan kepimpinan BERSATU Sabah yang ingin mewujudkan kembali JPPS bertentangan dengan hasrat orang Sabah dan sama dengan penurunan kuasa.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *