Dibatalkan, Tiada Pesta Kaamatan Tahun Ini

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pusat Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) sebulat suara memutuskan membatalkan penganjuran perayaan Pesta Kaamatan tahun ini ekoran penularan wabak CONVID-19 yang semakin membimbangkan.

Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun berkata keputusan itu sukar dibuat kerana semua anggota KDCA dengan jawatankuasa di semua daerah sudah dimaklumkan mengenai penganjuran pesta itu di kawasan masing-masing dan ia sememangnya perayaan tahunan yang ditunggu-tunggu.

“Selepas perbincangan menyeluruh dengan Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden KDCA dan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat KDCA, kami sebulat suara memutuskan pembatalan pesta berkenaan atas faktor kebimbangan kesihatan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sambutan Kaamatan adalah perayaan yang sangat penting untuk masyarakat Kadazandusun.

“Malangnya, ancaman wabak CONVID-19 memaksa untuk kita membatalkan acara ini. Walaupun kita tidak dapat mengadakan perayaan ini, tetapi melalui hati kita, kita mengucapkan Selamat Hari Harvest Festival 2020 dan berdoa agar 2021 akan membolehkan kita merayakan secara penuh,” tambahnya.

Setakat ini, difahamkan tiga kes positif COVID-19 telah direkodkan di Sabah.

Kes pertama direkodkan di Tawau membabitkan lelaki berusia 58 tahun dan kes kedua difahamkan di Papar melibatkan lelaki berusia 42 tahun.

Manakala, maklumat mengenai kes ketiga di Kota Kinabalu masih belum diketahui.

Bagi kes pertama dan kedua, kedua-dua pesakit merupakan jemaah yang menyertai Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac.

Berikutan penularan wabak berkenaan, Kerajaan Negeri Sabah turut mengeluarkan kenyataan agar Semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai yang melebihi 50 orang hendaklah ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID 19.

8157