56 Jemaah Tabligh Lahad Datu Bersedia Buat Saringan Covid-19

Samsuali

LAHAD DATU: Seramai 56 orang jemaah tabligh dari daerah ini yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur telah dihubungi untuk membuat saringan Covid-19 di Hospital Lahad Datu.

Ketua rombongan jemaah itu, Ustaz Samsuali Marulla berkata sejumlah peserta telah pun tampil melakukannya termasuk beliau pada petang tadi.

“Semuanya telah dimaklumkan dan bersedia untuk melakukan saringan itu dengan segera malah ada juga mahu melakukannya sekali lagi,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo di sini.

Menurutnya, masyarakat diminta tidak menjadikan situasi ini untuk bertindak panik kerana sehingga kini belum ada yang didapati positif Covid-19.

Samsuali turut meminta agar masyarakat bertindak matang berhadapan dengan isu itu terutamanya kepada mereka yang bertindak mahu mengasingkan pergaulan dengan para jemaah tabligh.

Satu kenyataan rasmi dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan semua Jabatan Kesihatan Negeri diminta untuk mengesan lebih 5,000 jemaah Malaysia yang menyertai perhimpunan itu.

Siasatan tersebut dijalankan ekoran laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei mengesahkan terdapat warganegaranya yang didapati positif COVID-19 selepas mengahadiri perhimpunan tersebut di Kuala Lumpur pada 29 Februari hingga 5 Mac lalu.

Sumber: Utusan Borneo

1323