Portfolio Baharu Peluang Tangani Isu Utama Sabah: Maximus

Dr. Maximus Ongkili

KOTA KINABALU: Pelantikan dalam portfolio baharu peluang untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili tangani isu utama di Sabah.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menyatakan penghargaan atas pelantikan berkenaan dan berjanji untuk melakukan yang terbaik dalam memantau hal ehwal Sabah dan Sarawak.

“Bagi pihak PBS, saya bersyukur atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat kepada negara sekali lagi sebagai ahli Kabinet Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pelantikan itu adalah peluang dalam menangani dan menyelesaikan masalah utama yang dihadapi dan sering dibangkitkan rakyat Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia termasuklah isu berkaitan undang-undang, dasar, keselamatan, dan pembangunan secara keseluruhannya.

Maximus sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi) pada 2004 hingga 2008.

Selepas pilihan raya umum (PRU) 2008, beliau memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Kemudian beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air selepas mengekalkan Kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU 2013.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *